Wednesday, January 5, 2011

setiap amalan bergantung kepada niat

Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya”.
Bukhari Muslim

Huraian
Peranan niat adalah amat penting dalam kehidupan manusia, kerana niat menentukan segala galanya samaada jujur atau tidak jujurnya, sama ada ikhlas atau tidak iklas seseorang itu atau sebagainya, semuanya bergantung dengan niat.
Ulama’ kaum muslimin meletakkan niat itu sebagai rukun pertama dalam semua ibadat. Bahkan untuk membedakan antara ibadat dengan adat hanyalah dengan niat. Jika niatnya baik, baiklah amalannya dan begitulah seterusnya.
Sesuatu perbuatan adat jika diniatkan mengikut tuntunan dan keredaan Allah dan Rasulullah maka ia berubah menjadi ibadat dan mendapat pahala.
Penghijrahan manusia dari satu tempat kesatu tempat dari satu tugas kesuatu tugas. Dari satu hajat kesuatu hajat semuanya akan dilaksanakan mengikut apa yang diniatkan.

Jihad Cinta Damia
www.iluvislam.com

“Apa salah Mia, mama? Mia tutup aurat, Mia solat..tiap-tiap hari Mia doakan kesejahteraan keluarga kita ma, tapi kenapa Tuhan balas Mia begini??!” Damia berada erat dalam dakapan ibunya, Faridah.

Sejak anaknya menjadi mangsa kerakusan lelaki tidak berhati perut, sejak itulah hidup anaknya seakan gelap. Tiada lagi senyum dan tawa yang menghiasi satu-satunya anak perempuan kesayangannya. Tercabar jua naluri keibuannya. Entah apa lagi yang harus dilakukan untuk mengembalikan semangat puteri kesayangannya. Pujukan dengan kata-kata seakan lemah buat Damia. Hanya doa yang mampu Faridah titipkan agar Damia kembali positif dalam hidupnya.

’Andai ibu diberi pilihan, biarlah ibu yang menanggung deritamu, Mia,’ bisik hati kecilnya.

Damia bukan lagi seperti dulu. Perwatakannya jauh berbeza dari sebelumnya. Kalau dulu pada awal subuh dan selepas maghrib akan terdengar alunan bacaan Al-Quran yang merdu menghiasi kamarnya. Namun kali ini cuma esakan yang menjadi ganti suasana itu. Ah,rindunya pada Damia yang dulu! Terkadang hampir sahaja keluar sumpah serana dari bibirnya untuk lelaki tak bertamadun itu. Kalau ikutkan hati, biarlah lelaki itu mati ditangannya!

“Mama tak tahu lagi nak buat apa..mak tak sanggup tengok adik kamu terus menangis macam ni. Sekarang dah hampir tiga bulan Johan. Tiga bulan! Tengoklah apa lelaki keparat tu dah buat dengan adik kamu! Makan pun payah, solat pun dia dah abaikan, asyik menangis..menangis…menangis. Jumpa doktor psikologi pun tak ada sembuhnya!” perasaannya berbaur marah dan kecewa.

Ujian apakah yang menimpa keluarganya? Cukuplah dia melalui zaman perit bersama bekas suaminya dulu, cukuplah hanya dia yang menanggung derita dan kecewanya terhadap seorang lelaki. Kenapa ‘lelaki’ juga yang memusnahkan hidup anaknya, Damia?!

“Ma, Jo tahu apa yang menimpa Damia memang teruk dan tak pernah terfikir pun ia akan berlaku. Tapi Jo yakin setiap kejadian ada hikmahnya, ma. Mama pernah ajar Jo kan, kita tak boleh putus asa dalam hidup ni sedangkan Allah masih tidak pernah putus menghulurkan pemberian-Nya. Allah masih memberi kita waktu untuk bernafas di udara-Nya, memberi waktu untuk mengingati-Nya, memohon pada-Nya. Mama juga pernah kata,tiap perbuatan ada balasannya. Selagi kita berhambakan Allah untuk hidup, dan bukan berhambakan hidup untuk Allah, kita pasti akan menemui kebahagiaan. Entah dunia atau akhirat…” Matang bicara Johan.

Jatuh jua air mata Faridah, bersyukur memiliki anak seperti Johan. Saat dia hampir rebah, dia punya anak yang memapah. Wajarkah dia berputus asa pada rahmat-Nya?

“Alhamdulillah…terima kasih sedarkan mama, Jo. Kita sama-sama berdoa, semoga adik kamu tabah dan mendapat hidayah-Nya.” Johan tersenyum sambil memegang erat tangan ibunya.

Jam hampir menunjukkan jam 8.20 malam. Bising. Satu-persatu buku dari rak yang tersusun kemas dibiarkan berselerak diatas lantai. Apa sahaja objek dihadapan mata Mia seakan tidak kena pada tempatnya. Pasu bunga yang dibiarkan jatuh dan pecah dihadapannya seakan menghiburkan hati. Lantas jari-jemarinya bermain dengan serpihan kaca yang berterabur di sekitar permukaan lantai. Tiada perkataan ‘luka’ yang wujud pada deria rasa saat Mia menyentuh serpihan-serpihan kaca oleh jemarinya. Baginya tidak ada gunanya lagi dia menghargai jasad yang sudah menjadi mangsa nafsu hamba dunia. Kotor! Jijik!

“Astaghfirullah..Mia!” Faridah berlari mendapatkan Mia. Johan pantas menarik tangan adiknya yang sudah dibasahi darah kerana luka dari serpihan kaca yang disentuhnya.

“Mia! Kau sedar tak apa yang kau buat ni?!!”

“Johan, janganlah marah adik kamu..dia masih tak stabil,” ujar Faridah sambil berusaha menghentikan pendarahan dari kedua tapak tangan anaknya.

“Mia dah melampau ma! Kita berusaha untuk kembalikan semangatnya..kita berdoa untuk dia tapi dia pula berusaha membunuh diri! Apa yang kau nak Mia? Kau nak biarkan lelaki tu rampas kesucian hati kau pula? Jangan pernah salahkan takdir Mia..Jangan pernah kesalkan hidup. Kau tak sedar ke berapa ramai lagi mangsa rogol diluar sana yang tak berpeluang meneruskan hidup macam kau? Jangan biarkan kebodohan lelaki tu pun buat kau bodoh!” Damia terdiam walau air matanya terus membasahi pipi gebunya.

Faridah hanya mampu diam, membiarkan Johan meneruskan kata-katanya dengan harapan dapat menyedarkan Damia.

“Berapa ramai lagi yang diuji diluar sana, sampai cacat pendengaran, buta pandangan tapi masih ada keinginan meneruskan hidup! Masih menghargai nyawa yang dianugerahi Allah. Abang tak kata dugaan kau tak sehebat mereka, tapi abang nak kau sedar Mia, betapa hebat pun ujian dan dugaan yang kita terima semuanya berpaksikan kembali pada Allah. Mengingati Allah.” Johan tunduk menyelindungkan wajahnya yang dibasahi airmata.

Bukan niatnya untuk memburukkan Damia, tidak terdetik sedikitpun niat untuk melemparkan semua kesilapan di bahu Damia. Hati kecilnya turut tercalar dengan peristiwa yang menimpa adiknya. Perasaan bersalah menyelubungi dirinya yang mengakui tidak menjaga Damia sebaiknya. Andai sahaja dia tahu akan berlaku sesuatu, pasti Johan sanggup membatalkan niatnya untuk pergi mesyuarat. Aku tak patut biarkan Damia balik bersendirian!

“Maafkan Mia..mama, abang Johan..”

“Mia tak pernah salah dengan mama, sayang.” Faridah menyeka airmata Damia.

“Mia..jasad ni milik Allah. Apa yang berlaku semua ada hikmah. Abang minta maaf tak lindungi Mia sebaiknya..”

Keluarga mereka bersatu dalam pelukan, bersatu dalam tangisan. Berdoa semoga ada sinar harapan yang cerah untuk mereka, semoga titik-titik luka tidak akan memutuskan ikatan silaturrahim yang sekian lama terbina. Semoga harapan itulah yang menghidupkan kembali keyakinan pada Mia. Semoga ada kesabaran yang subur pada jiwa Damia.


"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah : 155)

************

10 Ramadhan..

Setahun berlalu. Hari ini Mia akanberdepan dengan peperiksaan akhir sem. Awal subuh tadi dia terdengar Mia membaca al-Mathurat sebagai permulaan hari yang baik untuk Mia menghadapi peperiksaannya. Hatinya semakin tenang saat melihat senyuman yang sentiasa terukir di wajah Damia.

“Mama doakan Mia dapat jawab yang terbaik nanti. Jangan lupa, sebelum jawab soalan…”

“Hadiahkan Al-fatihah buat diri sendiri, pemeriksa dan saudara kita..serta selawat untuk nabi,” pintas Mia menyambung pesanan ibunya yang meresap diruang fikirannya.

“Pandai pun anak mama ni. Johan pun hati-hati memandu tu..jangan nak cepat sampai je.”

“Baik ma..InsyaAllah..” jawab Johan perlahan.

"Beruntung Mia dapat jawab exam dalam bulan ramadhan ni. InsyaAllah dapat keberkatan, sambil berjihad dengan nafsu, berjihad pula dengan ilmu.” Tambah mama terus memberikan semangat buat Damia.

“InsyaAllah, betul tu Mia..untung Mia tau. Asalkan niat betul, Allah pasti memelihara,” sambung Johan sambil bersalam dengan ibunya dan diikuti Mia.


“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal." (Al-Anfaal : 2)

**********

'Banyak lagi persoalan yang belum terjawab. Masih ada masa untuk Haris memikirkan kembali keputusannya. Aku keliru. Benarkah dia benar-benar cintakan aku? Kenapa dia tidak mempersoalkan sedikitpun tentang kisah lalu aku? Maisarah menemaniku menemui Haris. Abang Johan dan mama pun tidak tahu pertemuan yang ku rancang dua hari sebelum tarikh pernikahan. Sepanjang menunggu kedatangan Haris, hati yang menanti penuh debaran diisi zikrullah. Semoga Allah memberi kekuatan dan ketenangan buatku. Maisarah tidak putus-putus memberikan nasihat agar aku mengawal emosi bertemu dengan lelaki yang belum lagi mempunyai ikatan sah denganku. Malah,ini adalah kali pertama aku akan bertemu dengan seorang lelaki yang membicarakan soal perasaan, soal diri masing-masing.'

“Haris dah datang.” Bisikan Maisarah seperti menusuk ke ruang hati.

“Assalamualaikum..” sapa Haris dan terus duduk berhadapan Damia. Mereka tidak tahu, Haris juga pertama kali duduk semeja dengan perempuan yang pertama menyentuh naluri lelakinya, Damia. Malah tidak terfikir pun, gadis muda berusia 21 tahun dihadapannya akan menjadi permaisuri hatinya, dunia akhirat. InsyaAllah..

“Waalaikumussalam..” jawab Damia dan Maisarah serentak. Setelah itu, diam merajai suasana tatkala masing-masing menunggu pihak mana yang akan bersuara. Damia tunggu Haris. Haris pula menunggu Damia. Maisarah? Akhirnya Maisarah juga yang memulakan perbualan setelah minuman yang dipesan telah tiba.

“Awak..awak masih ada masa nak ubah fikiran, Ris,” ujar Maisarah.

‘Thanks Mai! Tapi bukan aku ke sepatutnya cakap dialog tu?’ getus hati kecil Damia.

“Nak ubah fikiran? Kenapa Damia? Awak tak setuju ke?” soal Haris, bingung sambil merenung Damia, mengharapkan jawapan.

“Bukan tak setuju..tapi,tapi..saya tak seperti perempuan lain. Awak kena faham tu”

“Ya. Saya faham Mia, awak tak sama dengan perempuan di luar sana. Awak gadis tabah yang tetap teguh di jalan Allah walaupun Dia sentiasa menguji awak.”

“Tapi..”

“Damia, dengar sini. Bukan kecantikan jasad awak yang membangkitkan rasa cinta saya pada awak, kerana bagi saya semua wanita ciptaan Allah dicipta dengan kecantikan tersendiri. Tapi kecantikan hati dan keperibadian awak yang mengagumkan saya. Kerana tak semua wanita mampu bangun dan terus berpegang teguh pada takdir-Nya setelah rebah dengan dugaan atau musibah. Saya cintakan awak bukan untuk dunia je, tapi akhirat. Serahkan laluan cinta pada Allah, bukan saya semata..InsyaAllah. Awak akan lebih tenang..”

Terdiam. Bibir seakan terkunci rapat untuk bersuara. Lidah seakan kelu untuk berbicara. Hanya satu yang ku tekadkan dalam hati. Aku redha atas ketentuan-Nya. Hanya dia yang tahu apa yang terbaik.

**********
Skrin komputer riba ditatap lama. Puisi itu benar-benar menyentuh jiwanya. Blog ‘An-Nisaa’ yang menjadi tatapan Haris kini menarik perhatian. Penuh dengan puisi keagamaan. Siapakah yang diilhami Allah SWT untuk menulis puisi yang begitu indah pada iman. Semoga setiap pembacanya mendapat manfaat dan menghayati tiap bait-bait ayat yang begitu menggegarkan jiwa khalifah. Walau siapa pun penulisnya, semoga Allah merahmatinya.

CINTA..
Andai saja kau bisa merasa getaran HATIku,
Kau akan tahu betapa aku sangat meRINDUimu..
Andai saja kau bisa menadah AIR MATAku,
Kau akan tahu betapa aku takut keHILANGanmu..
Andai saja kau JAUH dari diriku,
Kau akan lihat betapa KOSONGnya hidupku..
Andai saja kau HILANG dariku..
Berjuta nyawa pun tak mampu menghidupkan JIWAku!

Cinta..
Jatuhnya aku pada kekuatan cinta tanpa melihatmu..
Butanya aku pada dugaan yang menguji kasihku..
Biar nyawa jadi taruhan asalkan cinta ini dipertahankan..
Biar harta dan jasad terkorban..
Kerana cinta ini yang ku damba!

Cinta..
Menyebut namamu takkan pernah jemu..
Mengingatimu takkan pernah lupa..
Memujimu takkan pernah rapuh..
Janjimu sentiasa teguh..
Cinta sehidup dan selepas mati..
Cinta yang sentiasa bahagia walau derita..
Aku menyintai sesuatu kerana cinta itu!
Aku hidup kerana cinta itu!
AKu mati kerana cinta itu!

Cukup bagiku cintamu..
Itulah pelindung yang memeliharaku..
Itulah ketenangan yang mententeramkan aku..
Itulah kebahagiaan yang menyinariku..

Engkau yang selalu ada..
Engkau yang sentiasa bersama..
Saat suka dan duka..
Aku cinta padamu..
Aku cinta pada takdirmu..
Aku cinta pada jalanmu..

Atas nama cinta..
"Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah,dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.."
Atas nafas cinta...
Subhanallah..
Alhamdulillah..
Allahu Akhbar..
Jihad cinta buatMu ya Rabb...
Pelihara nadiku untuk sentiasa mengingatiMu..
Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman padaMu..

Puisi ‘Aku jatuh cinta’ dibacanya berulangkali. Sesekali airmata yang jatuh disekanya segera. Bibirnya meniti istighfar. Puisi itu seakan merasuk kamar emosinya. Menerjah diruang fikirannya. Lantas jasadnya bangun menyucikan diri dengan wudhu. Tenang. Jiwanya dibalut ketenangan usai sahaja solat tahajudnya tengah malam itu. Subhanallah..Alhamdulillah..Allahu Akhbar..zikir berlagu pada bibir, jiwa dan meresap di hati.

**************

“Terima kasih kak Mia, selama ni akak dah banyak bagi dorongan dan nasihat pada Alia, kalau tak..entahlah apa yang akan jadi.”

Wajah Alia ditatap lama. Bukan kerana simpati yang membakar semangatnya untuk membantu Alia, tetapi gadis belasan tahun yang baru memasuki pusat perlindungan Anisa itu benar-benar menyentuh naluri wanitanya. Alia menjadi mangsa rogol manusia tak berperikemanusiaan. Kejam. Satu-satunya ayat yang layak menggambarkan derita gadis ini. Mujur Allah memberi rahmat dan petunjuk pada hambanya yang lemah. Biar jasad ditindas, tapi iman sedikitpun tidak akan tercalar.

“Syukur pada ALLAH SWT, hanya dia yang memberi sinar pada jiwa kita. Kakak cuma jalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim, Lia.”

“Semalam cikgu Haris beri ceramah sekejap je, tapi kali ini lebih banyak mendengar dan menghayati..tak seperti selalu.”

“Kenapa, dia cakap tentang apa?”

“Kebanyakan penghuni yang ada disini lemas kerana cinta nafsu, ditindas kerana cinta dunia..Tapi semalam, bila cikgu Haris berikan puisi ni..kita sebagai wanita semua hanya terdiam. Dalam diam, semuanya ingin berubah dan bersihkan niat dalam hati, kak.” Sayu ucapan Alia sambil tangan kanannya lantas menghulur kertas putih yang berada digenggamannya tadi.

Mata membaca setiap bait ayat, menerjah ruang minda dan mencari sudut jiwa. Lantas bibir menguntum senyuman.

“Kenapa akak senyum semacam je, akak pernah baca puisi ni ke?” Alia bingung.

“Puisi ni sangat dekat dengan akak, Lia..sentiasa rapat dihati akak..”

“Puisi ni diambil dari…”

“Blog An-Nisa.” Sambung Damia.

Tepat sangkaannya, getus Alia. “Kakak penulis puisi yang selama ni cikgu Haris beri pada kami?” soal Alia terus.

Namun Damia hanya memberikan senyuman sebagai jawapan. Menyembunyikan sedikit emosinya yang masih terkejut kerana suaminya menggunakan nukilan puisi dalam blognya sebagai bahan kaunseling. Tidak menyangka Haris turut menyelami curahan jiwanya dan menyampaikannya dalam corak bimbingan kaunseling.

“Cikgu Haris tak tahulah selama ni yang tulis puisi kegemarannya ialah isterinya sendiri.” Usik Alia.

“Akak pun tak sangka suami akak boleh terjah blog akak. Sebelum ni memang ada yang minta izin copy semua karya akak melalui emel, tapi akak tak tahu yang minta izin tu suami akak sendiri,” ujarnya sedikit tergelak. Subhanallah..

Kertas yang dicetak dari laman blognya ditatap bersama Alia.


Pilihanku..
Bukannya pada paras rupa yang menawan hati..
Kerana cintaku bukan pada pandangan semata..
Takut jika diwarnai kegelapan..
Kita buta hilang arah..

Pilihanku..
Bukannya pada manis tutur kata bermadah..
Kerana cintaku bukan pada janji yang bermaharajalela..
Andainya suara dikaburi fitnah,
Kita rebah tiada bermaya..

Pilihanku..
Bukan pada banyaknya harta dunia,
Kerana cintaku bukannya ternilai dengan harga..
Bimbang kemewahan membawa leka..
Menghilangkan cinta kita padaNya..
Lalu dimanakah bahagia?


Pilihanku itu..
seorang yang buta..
Buta menilai paras rupa..
Sesungguhnya syahadahnya menggegar seluruh jiwaku..
Keikhlasannya melakar cinta yang diredha..
Tongkatnya pada akidah yang menyinari laluan bahagia

Pilihanku itu...
Seorang yang bisu..
Bisu mengungkapkan janji yang tiada pasti..
Kerana harapan disandarkan pada Illahi..
Pendiriannya menusuk nurani hawa..
Bait-bait kesyukurannya lahir pada sujud seorang hamba

Pilihanku itu..
Seorang yang papa dan hina...
Papa dengan takbur yang mengubur
Hina kerana sederhana..
Iman memujuk jiwanya..
Cintanya pada agama mengikat tali ukhwah..
Lalu disimpul teguh pada tiang pernikahan..

Pilihan kami..
Pada agama yang memelihara
Pada Syahadah yang mengiringi
Pada Alquran yang membimbing..

Biar..
Cinta kami pada maha Menyintai..
Kerana janjiNya yang pasti
Cinta kami pada kekasih Illahi
kerana memimpin ke jalan bahagia yang hakiki
Kasih isteri pada cinta yang diberi..
Biarlah sampai ke akhirat nanti...
kerana yang sebenarnya ku mahukan padanya..
Bukan cuma kekasih duniawi..
Tapi teman menuju syurgawi..

'Ramai yang mencari cinta tetapi tertipu olehnya,
Ramai yang kecewa kerana cinta dan putus asa pada rahmat-Nya,
Ramai yang membenci cinta dan membenci nyawanya.'


"Cinta yang dicari tanpa melalui Pencipta adalah cinta yang tiada batasnya. Cinta tanpa batasan hanya cinta sekadar hiburan. Hiburan yang bukan hanya melalaikan jiwa, menggelapkan hati malah buta pada Pencipta. Apabila musibah melanda, mula salahkan Tuhan kerana tidak menyedarkan daripada leka. Hati kita yang lemah, sentiasa digodai nafsu, sebab itu kita kena berpegang pada sandaran yang kukuh, Allah SWT. Adanya iman..apapun cabaran kita tetap mara ke hadapan. InsyaAllah.” Panjang bicara Damia.

Hilang kata-kata dari Alia, mereka berdakapan. Terusik dengan kata-kata Damia. Kenapalah sebelum ini aku tidak menghargai nyawa, terlalu awal untuk menyerah dengan kehidupan? Sedangkan Allah tidak putus-putus memberi kesempatan. Air mata mengalir dipipi gebu Alia. Hatinya terlalu akrab dengan Damia.

“Kenapa akak memahami Lia? Adik dan ibu Alia sendiri tak dapat nak faham Lia..situasi Lia. Akak pun…pernah lalui masa derita macam Lia juga ke?”

Damia tersenyum, biarlah Alia mentafsirkan sendiri makna senyumannya kali ini. Alia memandang Damia dengan pandangan berkaca dan bibirnya turut menguntum senyuman walau soalannya tidak terjawab dengan lisan.

“Bukanlah masa ‘derita’ Lia..tetapi masa yang terlalu berharga. Airmata yang menangis buat Pencipta, melihat putaran kehidupan dengan mencari hikmah yang tersembunyi dari Allah, rindu untuk terus sujud mengharapkan bantuan dan menyandarkan harapan pada-Nya. Istilah ‘derita’ itu patut digantikan dengan ‘tarbiyah’..Kita belajar dan diajar melalui kehidupan, Alia. Jadi, jangan anggap ini masa derita buat Alia, belum tentu orang yang bahagia ikhlas mengingati Allah. Saat yang dianggap derita itulah kita sentiasa bertemankan doa.”

“Ya..Alhamdulillah, terima kasih kak. Kakak terlalu banyak sedarkan Alia. Alia jahil dengan dunia kak.”

“Alhamdulillah..semuanya dari Allah..” Damia tersentak.

Sejak bila suaminya berada dihadapan mereka? Tabir yang memisahkan jemaah lelaki dan wanita yang terselak ditiup angin menampakkan jasad Haris yang benar-benar berada dihadapan. Dengarkah dia semua bicaranya pada Alia?

Selesai berjemaah solat Asar, Haris terus mendekati isterinya. Tapi kali ini lain panggilan yang keluar dari mulutnya.

“Nampaknya hari ni biar abang yang masak untuk makan malam, khas buat isteri yang tersayang, An-Nisa” Senyuman Haris memerangkap emosinya. Tapi…

Abang sebut Nisa tu, nama madu buat Mia ke?” Damia sengaja mengusik.

“Amboi, tak payah nak sorok lagi..lepas ni abang nak bukukan karya tulisan isteri abang. Tak payahlah nak hantar emel nak minta izin kan?” Sah, Haris dengar tadi! Siap menyindir pula.

“Yelah abang, maaflah sebab berahsia dengan abang.”

“Takdelah..Alhamdulillah, abang beruntung berjumpa dengan penulis puisi kegemaran abang yang selama ni dekat dengan abang, dan dapat tahu rahsia sayang pun kat tempat kegemaran abang, kat surau rumah Anisa. Kenapalah abang tak boleh agak selama ni? Rupanya nama yang sayang beri untuk rumah perlindungan ni pun sama dengan nama blog sayang kan?”

Rumah perlindungan untuk wanita yang tertindas diberi nama Anisa, walaupun masih baru tetapi berjaya memberi sinar baru buat penghuni-penghuninya. Alhamdulillah,itulah harapan mereka. Itulah Jihad cinta Damia.

“Eh, kata nak masak untuk isteri tersayang, jomlah balik rumah cepat, nanti traffic jammed lambat pula.”

“Sebelum tu…nak tahu tak rahsia abang tak?”

“Apa?” ucap Damia tidak sabar.

Puisi ‘Aku jatuh cinta’ tu lah yang buat abang terus menyintai sayang kerana Allah..” bisik Haris. Bisikan yang membawa manik-manik ketenangan apalagi saat Haris menyebut nama Allah. Lantas zikrullah menghiasi kamar hatinya sambil menatap wajah suami tercintanya Haris.

Jihad cinta buat-Mu ya Rabb. Pelihara nadiku untuk sentiasa mengingati-Mu. Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman pada-Mu.

kesatlah air matamu wahai wanita

Kesatlah Air Matamu Wahai Wanita
www.iLuvislam.com


“Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia – si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami.”



Bait-bait kata itu aku tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan. Kata-kata yang dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah indahnya jika aku bisa menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan itu. Ku bulatkan tekad di hatiku. Aku ingin menjadi seorang gadis yang sopan, anak yang taat kepada ibu bapaku dan aku jua ingin menjadi seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah.


Menjadi seorang isteri…. Kepada insan yang disayangi….. Idaman setiap wanita. Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepadaku.


Baru petang tadi, aku sah menjadi seorang isteri setelah mengikat tali pertunangan 6 bulan yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris, alhamdulillah menepati ciri-ciri seorang muslim yang baik. Aku berazam untuk menjadi isteri yang sebaik mungkin kepadanya.


“Assalamualaikum,” satu suara menyapa pendengaranku membuatkan aku gugup seketika.


“Waalaikumusalam,” jawabku sepatah. Serentak dengan itu, ku lontarkan satu senyuman paling ikhlas dan paling manis untuk suamiku. Dengan perlahan dia melangkah menghampiriku.


“Ain buat apa dalam bilik ni? Puas abang cari Ain dekat luar tadi. Rupanya kat sini buah hati abang ni bersembunyi.”


Aku tersenyum mendengar bicaranya. Terasa panas pipiku ini. Inilah kali pertama aku mendengar ucapan ‘abang’ dari bibirnya.


Dan itulah juga pertama kali dia membahasakan diriku ini sebagai ‘buah hati’ nya. Aku sungguh senang mendengar ucapan itu. Perlahan-lahan ku dongakkan wajahku dan aku memberanikan diri menatap pandangan matanya.


Betapa murninya sinaran cinta yang terpancar dari matanya, betapa indahnya senyumannya, dan betapa bermaknanya renungannya itu. Aku tenggelam dalam renungannya, seolah-olah hanya kami berdua di dunia ini.


Seketika aku tersedar kembali ke alam nyata. “Ain baru je masuk. Nak mandi. Lagipun dah masuk Maghrib kan?” ujarku.


“Ha’ah dah maghrib. Ain mandi dulu. Nanti abang mandi dan kita solat Maghrib sama-sama ye?” Dia tersenyum lagi. Senyum yang menggugah hati kewanitaanku. Alangkah beruntungnya aku memilikimu, suamiku.


Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia berpusing mengadapku. Dengan penuh kasih, ku salami dan ku cium tangannya, lama.


Aku ingin dia tahu betapa dalam kasih ini hanya untuknya. Dan aku dapat merasai tangannya yang gagah itu mengusap kepalaku dengan lembut. Dengan perlahan aku menatap wajahnya.


“Abang…..” aku terdiam seketika. Terasa segan menyebut kalimah itu di hadapannya. Tangan kami masih lagi saling berpautan. Seakan tidak mahu dilepaskan. Erat terasa genggamannya.


“Ya sayang…” Ahhh….bicaranya biarpun satu kalimah, amat menyentuh perasaanku.


“Abang… terima kasih atas kesudian abang memilih Ain sebagai isteri biarpun banyak kelemahan Ain. Ain insan yang lemah, masih perlu banyak tunjuk ajar dari abang. Ain harap abang sudi pandu Ain. Sama-sama kita melangkah hidup baru, menuju keredhaan Allah.” Tutur bicaraku ku susun satu persatu.


“Ain, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kerana Ain sudi terima abang dalam hidup Ain. Abang sayangkan Ain. Abang juga makhluk yang lemah, banyak kekurangan. Abang harap Ain boleh terima abang seadanya. Kita sama-sama lalui hidup baru demi redhaNya.”


“Insya Allah abang…. Ain sayangkan abang.”


“Abang juga sayangkan Ain. Sayang sepenuh hati abang.”


Dengan telekung yang masih tersarung, aku tenggelam dalam pelukan suamiku.


Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan penuh kesyukuran. Suamiku, ternyata seorang yang cukup penyayang dan penyabar. Sebagai wanita aku tidak dapat lari daripada rajuk dan tangis.


Setiap kali aku merajuk apabila dia pulang lewat, dia dengan penuh mesra memujukku, membelaiku. Membuatku rasa bersalah. Tak wajar ku sambut kepulangannya dengan wajah yang mencuka dan dengan tangisan.


Bukankah aku ingin menjadi perhiasan yang menyejukkan hati suami? Sedangkan Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan Rasulullah untuk berkhalwat1 di Gua Hira’.


Lalu, ku cium tangannya, ku pohon ampun dan maaf. Ku hadiahkan senyuman untuknya. Katanya senyumku bila aku lepas menangis, cantik!


Ahhh…. dia pandai mengambil hatiku. Aku semakin sayang padanya. Nampaknya hatiku masih belum sepenuhnya terikat dengan Allah. Lantaran itulah aku masih belum mampu menyerahkan seluruh kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami.


“Isteri yang paling baik ialah apabila kamu memandangnya, kamu merasa senang, apabila kamu menyuruh, dia taat dan apabila kamu berpergian, dia menjaga maruahnya dan hartamu.”



Aku teringat akan potongan hadis itu. Aku ingin merebut gelaran isteri solehah. Aku ingin segala yang menyenangkan buat suamiku. Tuturku ku lapis dengan sebaik mungkin agar tidak tercalar hatinya dengan perkataanku. Ku hiaskan wajahku hanya untuk tatapannya semata-mata.


Makan minumnya ku jaga dengan sempurna. Biarpun aku jua sibuk lantaran aku juga berkerjaya. Pernah sekali, aku mengalirkan air mata lantaran aku terlalu penat menguruskan rumah tangga apabila kembali dari kerja. Segalanya perlu aku uruskan. Aku terasa seperti dia tidak memahami kepenatanku sedangkan kami sama-sama memerah keringat mencari rezeki.


Namun, aku teringat akan kisah Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang menangis kerana terlalu penat menguruskan rumah tangga.


Aku teringat akan besarnya pahala seorang isteri yang menyiapkan segala keperluan suaminya. Hatiku menjadi sejuk sendiri.


Ya Allah, aku lakukan segala ini ikhlas keranaMu. Aku ingin mengejar redha suamiku demi untuk mengejar redhaMu. Berilah aku kekuatan, Ya Allah.


“Ain baik, cantik. Abang sayang Ain.” Ungkapan itu tidak lekang dari bibirnya. Membuatkan aku terasa benar-benar dihargai. Tidak sia-sia pengorbananku selama ini. Betapa bahagianya menjadi isteri yang solehah.


Kehidupan yang ku lalui benar-benar bermakna, apatah lagi dengan kehadiran 2 orang putera dan seorang puteri. Kehadiran mereka melengkapkan kebahagiaanku.


Kami gembira dan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan kepada kami.


Namun, pada suatu hari, aku telah dikejutkan dengan permintaannya yang tidak terduga.


“Ain….. Abang ada sesuatu nak cakap dengan Ain.”


“Apa dia abang?” tanyaku kembali. Aku menatap wajahnya dengan penuh kasih. “Ain isteri yang baik. Abang cukup bahagia dengan Ain. Abang bertuah punya Ain sebagai isteri,” bicaranya terhenti setakat itu. Aku tersenyum. Namun benakku dihinggap persoalan. Takkan hanya itu?


“Abang ada masalah ke?” Aku cuba meneka.


“Tidak Ain. Sebenarnya……,” bicaranya terhenti lagi. Menambah kehairanan dan mencambahkan kerisauan di hatiku. Entah apa yang ingin diucapkannya.


“Ain…… Abang….. Abang nak minta izin Ain…… Untuk berkahwin lagi,” ujarnya perlahan namun sudah cukup untuk membuat aku tersentak. Seketika aku kehilangan kata.


“A….. Abang….. nak kahwin lagi?” aku seakan tidak percaya mendengar permintaannya itu. Ku sangka dia telah cukup bahagia dengannku. Aku sangka aku telah memberikan seluruh kegembiraan padanya. Aku sangka hatinya telah dipenuhi dengan limpahan kasih sayangku seorang.


Rupanya aku silap. Kasihku masih kurang. Hatinya masih punya ruang untuk insan selain aku.


Tanpa bicara, dia mengangguk. “Dengan siapa abang?” Aku bertanya. Aku tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi…. hatiku… hanya Allah yang tahu betapa azab dan pedih hati ini.


“Faizah. Ain kenal dia, kan?”


Ya, aku kenal dengan insan yang bernama Faizah itu. Juniorku di universiti. Rakan satu jemaah. Suamiku aktif dalam jemaah dan aku tahu Faizah juga aktif berjemaah.


Orangnya aku kenali baik budi pekerti, sopan tingkah laku, indah tutur kata dan ayu paras rupa. Tidakku sangka, dalam diam suamiku menaruh hati pada Faizah.


“A…. Abang…… Apa salah Ain abang?” nada suaraku mula bergetar. Aku cuba menahan air mataku daripada gugur. Aku menatap wajah Abang Harris sedalam-dalamnya. Aku cuba mencari masih adakah cintanya untukku.


“Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik. Cukup baik. Abang sayang pada Ain.”


“Tapi….Faizah. Abang juga sayang pada Faizah…. bermakna….. sayang abang tidak sepenuh hati untuk Ain lagi.”


“Ain….. sayang abang pada Ain tidak berubah. Ain cinta pertama abang. Abang rasa ini jalan terbaik. Tugasan dalam jemaah memerlukan abang banyak berurusan dengan Faizah…. Abang tak mahu wujud fitnah antara kami.”


“Lagipun…. abang lelaki Ain. Abang berhak untuk berkahwin lebih dari satu.”


Bicara itu kurasakan amat tajam, mencalar hatiku. Merobek jiwa ragaku. Aku mengasihinya sepenuh hatiku. Ketaatanku padanya tidak pernah luntur. Kasih sayangku padanya tidak pernah pudar. Aku telah cuba memberikan layanan yang terbaik untuknya. Tapi inikah hadiahnya untukku?


Sesungguhnya aku tidak menolak hukum Tuhan. Aku tahu dia berhak. Namun, alangkah pedihnya hatiku ini mendengar ucapan itu terbit dari bibirnya. Bibir insan yang amat ku kasihi.


Malam itu, tidurku berendam air mata. Dalam kesayuan, aku memandang wajah Abang Harris penuh kasih. Nyenyak sekali tidurnya.


Sesekali terdetik dalam hatiku, bagaimana dia mampu melelapkan mata semudah itu setelah hatiku ini digurisnya dengan sembilu.


Tidak fahamkah dia derita hati ini? Tak cukupkah selama ini pengorbananku untuknya? Alangkah peritnya menahan kepedihan ini. Alangkah pedihnya!







Selama seminggu, aku menjadi pendiam apabila bersama dengannya. Bukan aku sengaja tetapi aku tidak mampu membohongi hatiku sendiri. Tugasku sebagai seorang isteri aku laksanakan sebaik mungkin, tapi aku merasakan segalanya tawar. Aku melaksanakannya tidak sepenuh hati.


Oh Tuhan….. ampuni daku. Aku sayang suamiku, tapi aku terluka dengan permintaannya itu.


Apabila bertembung dua kehendak, kehendak mana yang harus dituruti. Kehendak diri sendiri atau kehendak Dia ?


Pastinya kehendak Dia. Apa lagi yang aku ragukan? Pasti ada hikmah Allah yang tersembunyi di sebalik ujian yang Dia turunkan buatku ini. Aku berasa amat serba-salah berada dalam keadaan demikian.


Aku rindukan suasana yang dulu. Riang bergurau senda dengan suamiku. Kini, aku hanya terhibur dengan keletah anak-anak.


Senyumku untuk Abang Harris telah tawar, tidak berperisa. Yang nyata, aku tidak mampu bertentang mata dengannya lagi. Aku benar-benar terluka.


Namun, Abang Harris masih seperti dulu. Tidak jemu dia memelukku setelah pulang dari kerja walau sambutan hambar. Tidak jemu dia mencuri pandang merenung wajahku walau aku selalu melarikan pandangan dari anak matanya.


Tidak jemu ucapan kasihnya untukku. Aku keliru. Benar-benar keliru. Adakah Abang Harris benar-benar tidak berubah sayangnya padaku atau dia hanya sekadar ingin mengambil hatiku untuk membolehkan dia berkahwin lagi?


“Oh Tuhan… Berilah aku petunjukMu.” Dalam kegelapan malam, aku bangkit sujud menyembahNya, mohon petunjuk dariNya. Aku mengkoreksi2 kembali matlamat hidupku.


Untuk apa segala pengorbananku selama ini untuk suamiku? Untuk mengejar cintanya atau untuk mengejar redha Allah?


Ya Allah, seandainya ujian ini Engkau timpakan ke atas ku untuk menguji keimananku, aku rela Ya Allah. Aku rela.


Biarlah… Bukan cinta manusia yang ku kejar. Aku hanya mengejar cinta Allah. Cinta manusia hanya pemangkin. Bukankah aku telah berazam, aku inginkan segala yang menyenangkan buat suamiku?


Dengan hati yang tercalar seguris luka, aku mengizinkan Abang Harris berkahwin lagi. Dan, demi untuk mendidik hati ini, aku sendiri yang menyampaikan hasrat Abang Harris itu kepada Faizah.


Suamiku pada mulanya agak terkejut apabila aku menawarkan diri untuk merisik Faizah.


“Ain?…… Ain serius?”


“Ya abang. Ain sendiri akan cakap pada Faizah. Ain lakukan ini semua atas kerelaan hati Ain sendiri. Abang jangan risau… Ain jujur terhadap abang. Ain tak akan khianati abang. Ain hanya mahu lihat abang bahagia,” ujarku dengan senyuman tawar. Aku masih perlu masa untuk mengubat luka ini. Dan inilah satu caranya. Ibarat menyapu ubat luka. Pedih, tetapi cepat sembuhnya.







Aku mengumpul kekuatan untuk menjemput Faizah datang ke rumahku. Waktu itu, suamiku tiada di rumah dan dia telah memberi keizinan untuk menerima kedatangan Faizah. Faizah dengan segala senang hati menerima undanganku.


Sememangnya aku bukanlah asing baginya. Malah dia juga mesra dengan anak-anakku.


“Izah…… akak jemput Izah ke mari sebab ada hal yang akak nak cakapkan,” setelah aku merasakan cukup kuat, aku memulakan bicara.


“Apa dia, Kak Ain. Cakaplah,” lembut nada suaranya.


“Abang Harris ada pernah cakap apa-apa pada Faizah?”


“Maksud Kak Ain, Ustaz Harris?” Ada nada kehairanan pada suaranya. Sememangnya kami memanggil rakan satu jemaah dengan panggilan Ustaz dan Uztazah. Aku hanya mengangguk.


“Pernah dia cakap dia sukakan Izah?”


“Sukakan Izah? Isyyy…. tak mungkinlah Kak Ain. Izah kenal Ustaz Harris. Dia kan amat sayangkan akak. Takkanlah dia nak sukakan saya pula. Kenapa Kak Ain tanya macam tu? Kak Ain ada dengar cerita dari orang ke ni?”


“Tidak Izah. Tiada siapa yang membawa cerita…….” Aku terdiam seketika. “Izah, kalau Kak Ain cakap dia sukakan Izah dan nak ambil Izah jadi isterinya, Izah suka?” Dengan amat berat hati, aku tuturkan kalimah itu.


“Kak Ain!” jelas riak kejutan terpapar di wajahnya. “Apa yang Kak Ain cakap ni? Jangan bergurau hal sebegini Kak Ain,” kata Faizah seakan tidak percaya. Mungkin kerana aku sendiri yang menutur ayat itu. Isteri kepada Muhammad Harris sendiri merisik calon isteri kedua suaminya.


“Tidak Izah. Akak tak bergurau…… Izah sudi jadi saudara Kak Ain?” ujarku lagi. Air mataku seolah ingin mengalir tapi tetap aku tahan. Faizah memandang tepat ke wajahku.


“Kak Ain. Soal ini bukan kecil Kak Ain. Kak Ain pastikah yang…… Ustaz Harris….. mahu… melamar saya?”


Dari nada suaranya, aku tahu Faizah jelas tidak tahu apa-apa. Faizah gadis yang baik. Aku yakin dia tidak pernah menduga suamiku akan membuat permintaan seperti ini. Lantas, aku menceritakan kepada Faizah akan hasrat suamiku.


Demi untuk memudahkan urusan jemaah, untuk mengelakkan fitnah. Faizah termenung mendengar penjelasanku.


“Kak Ain….. saya tidak tahu bagaimana Kak Ain boleh hadapi semuanya ini dengan tabah. Saya kagum dengan semangat Kak Ain. Saya minta maaf kak. Saya tak tahu ini akan berlaku. Saya tak pernah menyangka saya menjadi punca hati Kak Ain terluka,” ujarnya sebak. Matanya ku lihat berkaca-kaca.


“Izah… Kak Ain tahu kamu tak salah. Kak Ain juga tak salahkan Abang Harris. Mungkin dia fikir ini jalan terbaik. Dan akak tahu, dia berhak dan mampu untuk melaksanakannya. Mungkin ini ujian untuk menguji keimanan Kak Ain.”


“Kak… Maafkan Izah.” Dengan deraian air mata, Faizah meraihku ke dalam elukannya. Aku juga tidak mampu menahan sebak lagi. Air mataku terhambur jua. Hati wanita. Biarpun bukan dia yang menerima kepedihan ini, tetapi tersentuh jua hatinya dengan kelukaan yang ku alami. Memang hanya wanita yang memahami hati wanita yang lain.


“Jadi… Izah setuju?” Soalku apabila tangisan kami telah reda.


“Kak Ain…. Ini semua kejutan buat Izah. Izah tak tahu nak cakap. Izah tak mahu lukakan hati Kak Ain.”


“Soal Kak Ain…. Izah jangan risau, hati Kak Ain… Insya Allah tahulah akak mendidiknya. Yang penting akak mahu Abang Harris bahagia. Dan akak sebenarnya gembira kerana Faizah pilihannya. Bukannya gadis lain yang akak tak tahu hati budinya. Insya Allah Izah. Sepanjang Kak Ain mengenali Abang Harris dan sepanjang akak hidup sebumbung dengannya, dia seorang yang baik, seorang suami yang soleh, penyayang dan penyabar. Selama ini akak gembira dengan dia. Dia seorang calon yang baik buat Izah.



“Akak….. Izah terharu dengan kebaikan hati akak. Tapi bagi Izah masa dan Izah perlu tanya ibu bapa Izah dulu.”


“Seeloknya begitulah. Kalau Izah setuju, Kak Ain akan cuba cakap pada ibu bapa Izah.”


Pertemuan kami petang itu berakhir. Aku berasa puas kerana telah menyampaikan hasrat suamiku. `Ya Allah….. Inilah pengorbananku untuk membahagiakan suamiku. Aku lakukan ini hanya semata-mata demi redhaMu.’


Pada mulanya, keluarga Faizah agak keberatan untuk membenarkan Faizah menjadi isteri kedua Abang Harris. Mereka khuatir Faizah akan terabai dan bimbang jika dikata anak gadis mereka merampas suami orang.


Namun, aku yakinkan mereka akan kemampuan suamiku. Alhamdulillah, keluarga Faizah juga adalah keluarga yang menitikberatkan ajaran agama. Akhirnya, majlis pertunangan antara suamiku dan Faizah diadakan jua.


“Ain….. Abang minta maaf sayang,” ujar suamiku pada suatu hari, beberapa minggu sebelum tarikh pernikahannya dengan Faizah.


“Kenapa?”


“Abang rasa serba salah. Abang tahu abang telah lukakan hati Ain. Tapi…. Ain sedikit pun tidak marahkan abang. Ain terima segalanya demi untuk abang. Abang terharu. Abang…. malu dengan Ain.”


“Abang…. Syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya. Redha abang pada Ain Insya Allah, menjanjikan redha Allah pada Ain. Itu yang Ain cari abang. Ain sayangkan abang. Ain mahu abang gembira. Ain anggap ini semua ujian Allah abang.”


“Ain…. Insya Allah abang tak akan sia-siakan pengorbanan Ain ini. Abang bangga sayang. Abang bangga punya isteri seperti Ain. Ain adalah cinta abang selamanya. Abang cintakan Ain.”


“Tapi… Abang harus ingat. Tanggungjawab abang akan jadi semakin berat. Abang ada dua amanah yang perlu dijaga. Ain harap abang dapat laksanakan tanggungjawab abang sebaik mungkin.”


“Insya Allah abang akan cuba berlaku seadilnya.” Dengan lembut dia mengucup dahiku. Masih hangat seperti dulu. Aku tahu kasihnya padaku tidak pernah luntur. Aku terasa air jernih yang hangat mula membasahi pipiku. Cukuplah aku tahu, dia masih sayangkan aku seperti dulu walaupun masanya bersamaku nanti akan terbatas.







Pada hari pertama pernikahan mereka, aku menjadi lemah. Tidak bermaya. Aku tiada daya untuk bergembira. Hari itu sememangnya amat perit bagiku walau aku telah bersedia untuk menghadapinya.


Malam pertama mereka disahkan sebagai suami isteri adalah malam pertama aku ditinggalkan sendirian menganyam sepi. Aku sungguh sedih. Maha hebat gelora perasaan yang ku alami. Aku tidak mampu lena walau sepicing pun. Hatiku melayang terkenangkan Abang Harris dan Faizah. Pasti mereka berdua bahagia menjadi pengantin baru.


Bahagia melayari kehidupan bersama, sedangkan aku? Berendam air mata mengubat rasa kesepian ini. Alhamdulillah. Aku punya anak-anak. Merekalah teman bermainku.


Seminggu selepas itu, barulah Abang Harris pulang ke rumah. Aku memelukknya seakan tidak mahu ku lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa seperti setahun. Alangkah rindunya hati ini. Sekali lagi air mata ku rembeskan tanpa dapat ditahan.


“Kenapa sayang abang menangis ni? Tak suka abang balik ke?” ujarnya lembut.


“Ain rindu abang. Rindu sangat.” Tangisku makin menjadi-jadi. Aku mengeratkan pelukanku. Dan dia juga membalas dengan penuh kehangatan.


“Abang pun rindu Ain. Abang rindu senyuman Ain. Boleh Ain senyum pada abang?” Lembut tangannya memegang daguku dan mengangkat wajahku.


“Abang ada teman baru. Mungkinkah abang masih rindu pada Ain?” Aku menduga keikhlasan bicaranya.


“Teman baru tidak mungkin sama dengan yang lama. Kan abang dah kata, sayang abang pada Ain masih seperti dulu. Tidak pernah berubah, malah semakin sayang. Seminggu abang berjauhan dari Ain, tentulah abang rindu. Rindu pada senyuman Ain, suara Ain, masakan Ain, sentuhan Ain. Semuanya itu tiada di tempat lain, hanya pada Ain saja. Senyumlah sayang, untuk abang.”


Aku mengukir senyum penuh ikhlas. Aku yakin dengan kata-katanya. Aku tahu sayangnya masih utuh buatku.


Kini, genap sebulan Faizah menjadi maduku. Aku melayannya seperti adik sendiri. Hubungan kami yang dulunya baik bertambah mesra. Apa tidaknya, kami berkongsi sesuatu yang amat dekat di hati.


Dan, Faizah, menyedari dirinya adalah orang baru dalam keluarga, sentiasa berlapang dada menerima teguranku. Katanya, aku lebih mengenali Abang Harris dan dia tidak perlu bersusah payah untuk cuba mengorek sendiri apa yang disukai dan apa yang tidak disukai oleh Abang Harris. Aku, sebagai kakak, juga sentiasa berpesan kepada Faizah supaya sentiasa menghormati dan menjaga hati Abang Harris. Aku bersyukur, Faizah tidak pernah mengongkong suamiku. Giliran kami dihormatinya.


Walaupun kini masa untuk aku bersama dengan suamiku terbatas, tetapi aku dapat merasakan kebahagiaan yang semakin bertambah apabila kami bersama. Benarlah, perpisahan sementara menjadikan kami semakin rindu. Waktu bersama, kami manfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah, suamiku tidak pernah mengabaikan aku dan Faizah. Aku tidak merasa kurang daripada kasih sayangnya malah aku merasakan sayangnya padaku bertambah. Kepulangannya kini sentiasa bersama sekurang-kurangnya sekuntum mawar merah. Dia menjadi semakin penyayang, semakin romantik. Aku rasa aku harus berterima kasih pada Faizah kerana kata suamiku, Faizahlah yang selalu mengingatkannya supaya jangan mensia-siakan kasih sayangku padanya.







Memang aku tidak dapat menafikan, adakalanya aku digigit rindu apabila dia pulang untuk bersama-sama dengan Faizah. Rindu itu, aku ubati dengan zikrullah. Aku gunakan kesempatan ketiadaannya di rumah dengan menghabiskan masa bersama Kekasih Yang Agung. Aku habiskan masaku dengan mengalunkan ayat-ayatNya sebanyak mungkin. Sedikit demi sedikit kesedihan yang ku alami mula pudar. Ia diganti dengan rasa ketenangan. Aku tenang beribadat kepadaNya. Terasa diriku ini lebih hampir dengan Maha Pencipta.


Soal anak-anak, aku tidak mempunyai masalah kerana sememangnya aku mempunyai pembantu rumah setelah aku melahirkan anak kedua. Cuma, sewaktu mula-mula dulu, mereka kerap juga bertanya kemana abah mereka pergi, tak pulang ke rumah. Aku terangkan secara baik dengan mereka. Mereka punyai ibu baru. Makcik Faizah. Abah perlu temankan Makcik Faizah seperti abah temankan mama. Anak-anakku suka bila mengetahui Faizah juga menjadi ‘ibu’ mereka. Kata mereka, Makcik Izah baik. Mereka suka ada dua ibu. Lebih dari orang lain. Ahhh… anak-anak kecil. Apa yang kita terapkan itulah yang mereka terima. Aku tidak pernah menunjukkan riak kesedihan bila mereka bertanya tentang Faizah. Bagiku Faizah seperti adikku sendiri.


Kadang-kadang, bila memikirkan suamiku menyayangi seorang perempuan lain selain aku, memang aku rasa cemburu, rasa terluka. Aku cemburu mengingatkan belaian kasihnya itu dilimpahkan kepada orang lain. Aku terluka kerana di hatinya ada orang lain yang menjadi penghuni. Aisyah, isteri Rasulullah jua cemburukan Khadijah, insan yang telah tiada. Inikan pula aku, manusia biasa. Tapi….. ku kikis segala perasaan itu. Cemburu itukan fitrah wanita, tanda sayangkan suami.


Tetapi cemburu itu tidak harus dilayan. Kelak hati sendiri yang merana. Bagiku, kasih dan redha suami padaku itu yang penting, bukan kasihnya pada orang lain. Selagi aku tahu, kasihnya masih utuh buatku, aku sudah cukup bahagia. Dan aku yakin, ketaatan, kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya itulah kunci kasihnya kepadaku. Aku ingin nafasku terhenti dalam keadaan redhanya padaku, supaya nanti Allah jua meredhai aku. Kerana sabda Rasulullah s.a.w


“Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga.” (Riwayat-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah).



Sungguh bukan mudah aku melalui semuanya itu. Saban hari aku berperang dengan perasaan. Perasaan sayang, luka, marah, geram, cemburu semuanya bercampur aduk. Jiwaku sentiasa berperang antara kewarasan akal dan emosi. Pedih hatiku hanya Tuhan yang tahu. KepadaNyalah aku pohon kekuatan untuk menempuhi segala kepedihan itu. KepadaNyalah aku pinta kerahmatan dan kasih sayang, semoga keresahan hati ini kan berkurangan.


Namun, jika aku punya pilihan, pastinya aku tidak mahu bermadu. Kerana ia sesungguhnya memeritkan. Perlukan ketabahan dan kesabaran. Walau bagaimanapun, aku amat bersyukur kerana suamiku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Dan aku juga bersyukur kerana menjadi intan terpilih untuk menerima ujian ini.



Glosari
1
berkhalwat - mengasingkan (memencilkan diri di tempat yg sunyi (kerana bertafakur, beribadat, dll)
2
mengkoreksi - meneliti dan membetulkan kesalahan (pd karangan dll)

Saturday, January 1, 2011

kisah seorang pengurus, ibu dan anak....

Pada suatu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.

Semasa menemuduga salah seorang calon,pengurus syarikat tersebut mendapati seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehinggalah sepanjang pengajiannya di universiti.Setiap semester calon tersebut memperoleh keputusan yang cemerlang.

Pengurus itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?"
Gadis itu menjawab "Tidak".

Pengurus itu bertanya lagi, "Jadi adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?"
Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah meninggal ketika saya berusia satu tahun, ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian saya".

Pengurus meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?" Gadis itu menjawab,"Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah".Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya dan gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja berat.

Pengurus berasa hairan lalu bertanya lagi,"Awak tidak pernah membantu ibu awak mencuci kain dahulu?".Gadis itu menjawab, " Tidak pernah.Ibu selalu berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan.Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian.Lagipun ibu membasuh lebih cepat daripada saya."

Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis itu pulang ke rumah nanti dan berjumpa semula dengannya keesokan harinya.

Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi.Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersikan tangan ibunya.Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya membersihkan tangannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tapak tangan kepada anaknya.

Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan.Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu.Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kusut dan terdapat banyak calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air di tangannya.

Lama-kelamaan gadis itu mula menyedari bahawa tangan ini lah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti . Calar-calar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya yang cemerlang dan juga demi masa depan seorang anak.Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis itu secara senyap-senyap membasuh semua pakaian ibunya yang masih tertinggal.

Keesokkan harinya, gadis itu kembali semula ke pejabat.

Pengurus tersebut menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya
"Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?".

Gadis itu menjawab
"Saya membersihkan tangan ibu saya dan membasuh semua baki pakaian yang masih tertinggal".

Pengurus itu bertanya lagi, "Apa yang anda rasa?"

Gadis itu menjawab. "Pertama, saya sedar apa itu pengorbanan seorang ibu, tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini.Kedua, dengan bekerja bersama dengan ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti betapa sukar nya mendapat sedikit wang untuk hidup.Ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan."

Pengurus itu tersenyum lalu berkata, "Ini adalah apa yang saya mahukan, saya ingin mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain dan orang yang tidak akan meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya.Awak diterima untuk bekerja disini." Gadis itu bekerja dengan tekun dan menerima rasa hormat dari rakan-rakan sekerjanya.Prestasi syarikat juga semakin meningkat.

Pengajaran dari cerita ini ialah kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang banyak bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak.Ringan-ringankan diri untuk membantu ibu atau ayah melakukan kerja-kerja di rumah.Dari situ , kita akan belajar untuk menghargai kesusahan dan keperitan yang dialami oleh mereka.