1 – Wahai anakku, elakkan dirimu dari berhutang, kerana
berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di
waktu malam.
2 – Wahai anakku, sekiranya ibubapa mu marah kepadamu kerana kesilapan yang telah kamu lakukan, maka kemarahan ibubapamu adalah seperti baja untuk menyuburkan tanam tanaman.
3 – Wahai anakku, jika kamu mahu mencari kawan sejati, maka ujilah dia
terlebih dahulu dengan berpura pura membuatkan dia marah padamu.
Sekiranya dalam kemarahan itu dia masih mahu menasihati dan menginsafkan
kamu, maka bolehlah kamu mengambil dia sebagai kawan. Jika berlaku
sebaliknya maka berwaspadalah kamu terhadapnya.
4 – Wahai
anakku, bila kamu mempunyai teman karib, maka jadikanlah dirimu padanya
sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Sebaliknya
biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
5 – Wahai
anakku, jagalah dirimu supaya tidak terlalu condong kepada dunia dan
hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana kamu diciptakan Allah
bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina
daripada orang yang terpedaya dengan dunia.
6 – Wahai anakku,
janganlah kamu ketawa jika tiada sesuatu yang menggelikan, janganlah
kamu berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah kamu bertanya sesuatu
yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan harta mu pada jalan
maksiat.
7 – Wahai anakku, sesiapa yang bersifat penyayang
tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada
mengeluarkan perkataan yang sia-sia, dan sesiapa yang tidak dapat
menahan lidahnya dari berkata kotor tentu dia akan menyesal kelak.
8 – Wahai anakku, bergaullah dengan orang yang soleh dan berilmu.
Bukalah pintu hati mu dan dengarkanlah segala nasihat dan tunjuk ajar
darinya. Sesungguhnya nasihat dari mereka bagaikan mutiara hikmah yang
bercahaya yang dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering lalu
disirami hujan.
9 – Wahai anakku, sesungguhnya dunia ini
bagaikan sebuah kapal yang belayar di lautan yang dalam, banyak manusia
yang karam ke dalamnya. Jika engkau ingin selamat, maka belayarlah
dengan kapal yang bernama ‘taqwa’, isinya ialah ‘iman‘ dan layarnya
adalah ‘tawakkal kepada Allah’.
10 – Wahai anakku, jika kamu
mempunyai dua undangan majlis, iaitu majlis takziah kematian atau majlis
perkahwinan, maka utamakanlah majlis kematian, kerana ianya akan
mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri majlis
perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada keseronokan duniawi sahaja.
11 – Wahai anakku, janganlah kamu terus menelan apa sahaja yang kamu
rasa manis janganlah terus meludah sahaja apa yang kamu rasa pahit,
kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu
menimbulkan kelemahan
12 – Wahai anakku, janganlah kamu makan
sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya adalah lebih baik
jika bahagian dari yang kenyang itu diberikan kepada anjing sahaja.
13 – Wahai anakku, janganlah kamu menjadi lebih lemah dari seekor ayam
jantan, kerana ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan kamu
pada waktu itu masih terbaring di atas katilmu.
14 – Wahai
anakku, jangan kamu melantik seseorang yang bodoh menjadi utusanmu. Jika
tiada siapa yang lebih cerdas, pintar dan bijak maka sebaiknya dirimu
sendirilah yang menjadi utusan.
15 – Wahai anakku, orang yang
bersedia untuk mendengar nasihat dan bimbingan dari orang yang lebih
alim, maka dia layak untuk mendapat penjagaan dari Allah tetapi bagi
orang yang insaf setelah menerima teguran maka dia lebih layak untuk
mendapat kemuliaan dari Allah.
16 – Wahai anakku, orang yang
merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada
Allah, maka dia tawadduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah
dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah.
17 –
Wahai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana
tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan
sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah,
memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada
memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
18 –
Wahai anakku, kamu telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar
dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu,
adalah bilamana kamu mempunyai jiran yang jahat.
19 – Wahai
anakku, jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan,
bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu
telah memberikan akibat yang berbahaya.
20 – Wahai anakku,
bukanlah satu kebaikan namanya bila mana kamu selalu mencari ilmu tetapi
kamu tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang
yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya,
padahal ia masih mahu menambahkannya.
21 – Wahai anakku,
jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak
ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu
adalah sifat riya yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
22 –
Wahai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan
nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau
tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau
akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya
janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana
sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.
Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka,
kelak akan membinasakan dirimu.
23 – Wahai anakku, apabila kamu
menghampiri kediaman sesuatu kaum, ucaplah salam. Kemudian duduklah
ditempat yang telah disediakan oleh mereka. Jangan mulakan perbualan
sehingga mereka mulakannya. Sekiranya mereka suka berzikir maka
sertailah mereka, jika sebaliknya maka jauhilah mereka dan sertailah
kelompok lain.
24 – Wahai anakku, bertakwalah kepada Allah,
orang lain tidak akan tahu engkau takut kepada Allah s.w.t hanya untuk
dihormati, sedangkan hatimu menyimpang daripada kebenaran.
25 –
Wahai anakku, janganlah engkau terlalu menyayangi orang jahil kerana
dia akan menganggap kamu bersetuju dengan perbuatannya. Janganlah engkau
menghina sesuatu yang dibenci oleh orang bijaksana kerana dia akan
terus meninggalkanmu.
26 – Wahai anakku, ketahuilah bahawa
kekuasaan berada pada mulut orang-orang yang bijaksana. Mereka tidak
berkata-kata melainkan dengan apa yang dikurniakan Allah s.w.t
27 – Wahai anakku, janganlah engkau menyesal kerana berdiam sahaja.
Sesungguhnya percakapan itu berharga perak, sedangkan berdiam diri
berharga emas.
28 – Wahai anakku, hindarilah dirimu daripada
kejahatan, nescaya ia akan menjauhimu. Sesungguhnya kejahatan itu untuk
sejahat-jahat makhluk.
29 – Wahai anakku, pilihlah
majlis-majlis yang mengingati Allah, sertailah mereka, sekiranya engkau
seorang yang berilmu engkau dapat memanfaatkan ilmumu. Sekiranya engkau
seorang yang bodoh mereka akan mengajarmu. Allah akan merahmatimu dan
juga mereka. Wahai anakku janganlah engkau menyertai majlis-majlis yang
tidak mengingati Allah, sekiranya engkau seorang yang berilmu, engkau
tidak dapat memanfaatkannya. Sekiranya engkau seorang yang bodoh, engkau
akan bertambah bodoh. Allah akan murka kepadamu dan kepada mereka.
30 – Wahai anakku, janganlah engkau makan makanan yang tidak bersih. Bermesyuaratlah dalam urusanmu yang berbentuk ilmu.
31 – Wahai anakku, janganlah beriri hati dan tanding menandingi kerana
ia meluaskan medan pertumpahan darah orang yang beriman. Pertumpahan
darah dianggap oleh Allah sebagai pembunuhan, bukan kematian.
32 – Wahai anakku, sesungguhnya kebijaksaaan itu meletakkan orang miskin pada taraf raja-raja.
33 – Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa
kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang
dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang.
- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -
1 – “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia
memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan
(Allah) sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar
kezaliman yang besar.” Surah Luqman : Ayat 13
2 – “Dan Kami
perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya;
ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah,
dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua
orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu. Dan jika keduanya
memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada
pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan
pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang
kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka
Ku-beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” Surah Luqman : Ayat
14 – 15
3 – “(Luqman berkata): “Hai anakku, sesungguhnya jika
ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di
langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya
(membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. ”
Surah Luqman : Ayat 16
4 – “Hai anakku, dirikanlah shalat dan
suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari
perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.
Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh
Allah).
Dan janganlah memalingkan muka dari manusia (kerana
sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi
membanggakan diri.
Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan
lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara
keldai. “ Surah Luqman : Ayat 17 – 19